teman-teman

Wednesday, January 16, 2013

Pakcik.. Pakcik dari mana? (Pengalaman di Madinah)


Pengalaman saya ditanah haram (madinah).. 

Cerita ini bukanlah cerita baru, cerita ini berlaku dipertengahan tahun lepas.. 

Teringat sewaktu ketika saya di dewan makan dekat hotel selepas makan malam, saya turun ke lobby, untuk mengambil beg saya, waktu itu saya dan jemaah baru sahaja tiba dari Makkah selepas menunaikan umrah disana selama 9 hari, tidak lama kemudian datang salah seorang jemaah saya, membawa seorang pakcik yang agak berumur.. 

Jemaah : "ustaz, tolong pakcik ni.. Pakcik ni sesat dari lepas subuh tadi..

Saya : ye ke? dari subuh? pakcik, nama pakcik siapa? Pakcik tau nama travel pakcik? Mana nametag pakcik? Mana beg pakcik?

Pakcik : pakcik tak bawa, pakcik tertinggal.. Pakcik taktau nama travel pakcik..

Pesanan: Bagi jemaah yang hendak melakukan umrah atau menunaikan haji, butir diri seperti nametag dan beg kecil(beg silang) yg dihadiahkan dari syarikat travel sangat penting bagi setiap jemaah bila berada disana, ini kerana di setiap beg dan nametag pasti ada tertulis nama travel dan no telefon.


Termenung seketika.. Jom pakcik ikut saya.. Saya bawa pakcik makan dulu diatas ada dewan makan dekat tingkat atas ni.. Pakcik tak makan lagi kan? 

Setelah dipujuk baru dia nak makan, sebab dia dah hilang selera nak makan kerana terlalu susah hati.. Lepas makan saya suruh pakcik itu tidur di bilik saya,ini kerana waktu sudah malam, dan saya sendiri masih kepenatan kerana perjalanan dari Makkah ke Madinah sangat jauh..  saya menyuruh dia tidur diatas katil dan saya tidur dilantai beralaskan kain ihram, sebenarnya saya tidak boleh tidur memikirkan pakcik ni. 

Sebelum itu saya dan petugas ada jugak cari2 nama travel yang pakcik tu sebut.. tak berapa jelas namanya.. bila saya google, travel yang pelik2 google bagi, ada dari jakarta dll..sedangkan pakcik ini dari negeri sembilan (dengar dari loghat cara dia bercakap) ada dia bagi no telefon rumah, bila saya kol budak kecik yang jawab dan tak berapa reti nak jawab.. Ntah pening nak fikir..

Sebelum azan pertama pakcik tu bangun tido balik.. Dalam jam 2.30pagi.. Dia bangun lagi, dia tak senang duduk, dia ajak saya teman dia cari hotel dia, katanya takut isterinya risau..saya pun bangun suruh dia basuh muka.. Waktu dia ke toilet, sy perasan ada darah2 dekat cadar katil saya.. MasyaAllah..Pakcik ni sakit rupanya.. lepas dia keluar saya tanya.. 

Saya : Pakcik sakit? 

Pakcik : Sepatutnya pakcik kena makan ubat.. 

Saya : Ohh ok jom kite cari hotel pakcik..

Akhirnya kami pun mencari dari hujung jalan sampai ke hujung jalan..waktu tu sangat gelap..Hanya bergantung dengan lampu2 bangunan.. Satu2 hotel saya masuk..disekitar masjid nabawi pun kami mundar mandir diperkarangan masjid mana tau kalo terjumpa group pakcik ni.. Sampaila masuk waktu subuh.. Kami bersolat subuh sama2.. Kemudian kami mencari lagi.. Matahari pun dah mula terbit..

Saya dah mula berasa penat sangat, kaki dah mula rasa sengal2, sakit dibahagian tumit..tidak berhenti kami berjalan,dari mula mencari..bila ingat balik seawal 2.30 pagi kami mula mencari.. Saya ajak pakcik tu duduk kejap, dia pun duduk,dalam hati saya sangat bersimpati dengan pakcik ni.. Tapi saya dah tak boleh nak teruskan pencarian dah sebab saya dah tak mampu berjalan. Salah satu jalan penyelesaiannya jika tidak berjaya mencari waris pakcik ini,saya terpaksa minta tolong pegawai untuk menghantarnya ke kedutaan, barangkali pakcik ini mungkin tidak kesampaian hajatnya ke kota Makkah bagi menunaikan umrah, dan dihantar pulang ke Malaysia jika dihantar ke kedutaan.. ntahla saya kusut lagi..bertambah simpati.. usaha mencari sia2 pada saya.. saya sangat penat.. :(  

Madinah dah mula cerah..teringat lepas makan pagi saya ada tugas lagi, nak bawa jemaah2 saya ziarah raudhah dan makam Rasulullah..aktiviti ziarah dalam.

Saya : pakcik saya ingat lepas ni pakcik rehat dulu di bilik saya, saya ada tugas nak bawa jemaah2 ziarah. Nanti lepas selesai tugas kita cari lagi ye?

Pakcik : takpelah nak.. Biar pakcik cari sendiri, pakcik nak tunggu kat pintu masjid.. Mana tau ada group pakcik nampak pakcik..

Saya : tapi jomla balik hotel dulu.. Kita makan dulu baru pakcik tunggu kat masjid. 

Pakcik : takpe nanti pakcik beli roti2 kat depan tu..

Saya : Pakcik amik no saya dengan kad hotel ni, kalo ada apa2 call saya, saya terus datang kat pakcik. Kalo tak jumpa hotel tunjuk je kad tu dekat orang nanti mereka akan tolong..

Saya pun balik hotel dengan muka yang saya sendiri rasa lesu dah tidak bermaya dah, ramai dah jemaah2 saya yang dah berkumpul dekat lobi untuk teruskan aktiviti..sampai je dekat hotel semua jemaah2 tanya pasal pakcik tu, ramai rupanya yang tau kisah pakcik ni, saya tak cerita pun.. Mereka tanya dah jumpa ke ahli dia, sy hanya gelengkan kepala..sekarang dia tengah menunggu di masjid jawapan saya ringkas..

Saya dan jemaah pun berangkat ke masjid, setiba sahaja di dataran jam hadapan pintu pagar masjidil nabawi, saya terlihat kelibat pakcik tu, nampak sangat dia kepenatan, jalan terhuyunghayang, saya pergi dekat dia.. 

hampir terkejut saya bila dia berteriak bertanya apa dosa dia? Apa salah dia? Kenapa isteri dia tak cari dia? Kenapa anak dia tidak bantu dia? kenapa ahli dia tinggalkan dia? saya jugak dimarahinya kerana tinggalkan dia, dia tanya kenapa dia diuji macam ni sampai 2 hari dia sesat tiada siapa pun yg mencari dia...

Saya : sabar pakcik istighfar pakcik..sy cuba tenangkan dia sambil memeluk dia..

Pakcik : janji jangan tinggalkan saya? Tolonglah saya.. Kata pakcik tu menangis teresak2..

Jemaah2 sy cuma melihat diam tak berkata termasuk saya menahan sebak.. Kemudian saya panggil mereka(jemaah) berkumpul.. saya cuba beritahu mereka yang saya nak bantu pakcik ni, dan sy tidak dapat nak bawak mereka teruskan program ziarah dalam, hati ini serbasalah, tetapi tak mampu kerana diri ini diperlukan..

Dari jauh saya nampak group sahabat saya ustaz Radzi dalam perjalanan ke masjid.. Saya pun maklumkan dekat dia dan situasi yang sedang saya hadapi sekarang ini, dan ustaz Radzi bersetuju bawak group saya sekali, Alhamdulillah..

Saya : Terima kasih ustaz Radzi sebab enta sudi tolong ana..

U.Radzi : Alaa takda masalah pun syeikh.. ana tolong sekadar mampu..

Selepas dah maklumkan pada jemaah2 saya akhirnya mereka pun ikut ustaz radzi, tetapi sebelum mereka menyusul ke ustaz radzi, seorang demi seorang datang kepada saya memberi sumbangan dekat pakcik tu, ustaz buat beli makanan kat pakcik ni ye, ustaz belilah pakaian dekat pakcik ni, ustaz buatla duit tambang kalo perlukan duit tambang.. Kesemuanya saya serahkan pada pakcik tu.. 

Lepastu pakcik tu menangis lagi bila semuanya pergi, saya dipeluknya lagi tanda terima kasih.. Kelemahan saya ni tidak boleh tengok orang nangis nanti terjoin.. Hehe.. Maka tinggal la kami berdua.

saya ajak dia duduk disekitar dataran jam.. Termenung kejap, fikir dekat mana lagi tempat nak cari, boleh dikatakan dari malam sampai kesiang hampir semua hotel saya masuk..tetapi tetap tidak jumpa..Saya cuba fikir lagi apa yang tidak kena..

Dalam keadaan saya bermenung dan berfikir..Tiba2 saya tersedar.. Saya teringat selama saya tolong pakcik ini saya hanya terus "mencari" tiada apa yang saya buat melainkan hanya "mencari" "mencari" dan "mencari" saya tersentak dan saya tersedar..saya hanya mencari sehinggakan saya terlupa apa yang sepatutnya kita sebagai hamba buat tetapi saya tidak buat.. Iaitu "berdoa" secara tak langsung saya beristigfar.. Ya Allah ampunkan aku kerana membelakangimu ya Allah..



Saya : Pakcik, jom..

Pakcik : anak dah tau nak cari dekat mana?

Saya : taktau..

Pakcik : abis ni kita ke mana?

Saya : kita ke masjid, buat solat taubat dan hajat..

Sampai je di masjid kami bersolat.. Waktu itu tak putus2 saya berdoa.. Agar Allah membantu dan memberi petunjuk.. Selesai bersolat saya duduk bersandar ditiang dalam masjid, menunggu pakcik itu sempurnakan solat..

Tidak lama kemudian sy dapat msj, dari petugas, juga merangkap sahabat saya ustaz mukram faiz, dia hantar senarai nama hotel yang hampir sama dengan apa yang pakcik itu sebut, ada 3 kesemuanya.. Saya call satu persatu akhirnya dapat ! 

Ya Allah syukur..Allhamdulillah, selepas bertukar2 maklumat, akhirnya pihak travelnya akan hantar petugas mereka untuk menjemput pakcik itu, saya suruh orang yg nak datang jemput tu ke dataran jam..

Selepas pakcik tu habis solat dia datang kepada saya..

Pakcik : jomla kita cari hotel saya..

Saya : nantila dulu, kita rehat minum teh dulu, saya belikan teh dengan kebab untuk pakcik.. Kita makan sama2 dekat dataran jam ye.

Kami pun makan sama2 sebab saya tau lepas ni pakcik ni akan balik ke jemaah dia dan kami mungkin takkan jumpa lagi.

Henpon sy berbunyi, saya jawab dan orang itu sampai, pakcik tu terkejut, jelas terserlah wajah pakcik tu sangat2 mengenali orang yang datang menjemput dia tu.. Mutawwif dia.. Orang jawa.. Maka kami pun bersurai sebelum pakcik tu pergi, dia peluk saya lagi menangis2 pakcik tu..sedih pulak sy tengok dia.. saya pun kesat airmata saya sendiri..

Jadi pengajaran dari pengalaman ni betul2 mengajar dan menyedarkan saya, apa sahaja yang kita buat, usahalah sekuat manapun jangan sesekali kita membelakangi Allah tuhan kita, usaha itu memang dari kita sebagai manusia yang melaksanakan,tetapi yangg mengizinkan "HASIL" dari usaha kita itu cuma Allah subhanawataala.. 

Bila kita sedar yang diri kita ini hamba, kita akan sedar yang kita ini hidup bertuhan, masih ada tempat mengadu, masih ada tempat meminta.. Kita jika jarang meminta, kita boleh diklasifikasikan sebagai hamba yang sombong.. Rasa cukup, tapi sebenarnya masih memerlukan..

-usaha itu memang dari kita sebagai manusia yang melaksanakan,
yang mengizinkan "HASIL" dari usaha kita itu cuma Allah subhanawataala..- 



Maka berusahalah disertakan dengan doa.. InsyaAllah hasil bakal setimpal dengan usaha.

sekian.

Wednesday, July 11, 2012

kenapa harus aku??

Assalamualaikum Warahtullahitaala Wabarakatuh..


Lama sudah saya tak update.. ini kerana jadual saya yang agak padat dengan tugas dan tanggungjawab sebagai mutawwif.. Disepanjang tugas saya pelbagai orang yang telah saya temui, ini kerana kebanyakan jemaah yang menuju Allah ke Tanah suci ini semuanya ingin berubah dan bertaubat.. dan pelbagai bentuk masaalah yang saya dengar dan menjadi tempat mengadu.. 


Rata-rata kesemuanya tentang kehidupan.. Kesulitan, kesilapan dan kesedihan.. Adakalanya saya sendiri juga tidak mampu menjawab rintihan mereka, persoalan mereka..ini kerana saya juga sama ditempat mereka.. Iaitu tidak dapat lari dari kekhilafan, kesedihan dan kesulitan..


Jadi entri kali ini terhasil dari apa yang terbuku dari hati saya..

Bursa Turkey
Bila kesedihan dan kegagalan datang menyinggahi kita. Yang sering terlintas didalam fikiran kita adalah selalu merasakan kita adalah orang yang paling teruk, kurang beruntung dan paling malang nasibnya.

Biasanya dalam hidup kita ini sering kali kita merasa selalu gagal. Pelbagai cara seperti sudah dilakukan. Kerja keras dan berdoa pun tidak pernah tidak hadir dari hidup kita. Tetapi selalu saja kegagalan yang datang..maka pertanyaan sebegini pun tersinggah dihati kita... 

Benarkah hanya kegagalan yang ada?

Bila kesedihan dan kekecewaan tidak terkawal akan timbul satu perasaan, iaitu perasaan "menyalahkan". kita seringkali menyalahkan orang lain dan menjadikan mereka sebagai 'suatu tempat punca' atas kegagalan serta kejadian yang kita alami, bahkan mungkin saja kita melakukan hal yang lebih parah lagi ketika kita secara tidak sedar "menyalahkan" Allah atas apa yang menimpa kita.

Itula sebabnya kenapa kita pernah terdengar orang berprasangka kepada Allah SWT dengan mengatakan 'Allah tidak adil', 'Allah tidak sayang kepada saya', 'apa salah dan dosa saya? sehingga Allah menimpakan ini kepada saya', 'kenapa mesti saya?' dan un
gkapan lain yang seolah-olah 'menuduh' Allah telah berlaku zalim kepada kita.

Bahawa sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang berbuat zalim terhadap diri mereka sendiri :Yunus 44

Ada lagi sebahagian dari kita yang suka mencela, mengumpat, membenci, dendam dan melempiaskan segala kekesalan baik dengan menyalahkan diri sendiri mahupun melampiaskannya kepada pihak lain yang kita anggap sebagai kemalangan, kesulitan atau peristiwa yang tidak diharapkan terjadi.

Boleh jadi kita menjadi tekanan, kesal, marah tak terhingga, bertindak tidak rasional, bahkan mungkin merugikan pihak lain yang sesungguhnya tidak berkait langsung dengan kegagalan yang kita alami.

Kita juga sering menyalahkan diri dan menyesali kekurangan diri sendiri sebagai akibat dari kegagalan atau kesusahan yang dialami. Padahal semua itu seharusnya berlaku kerana tidak ada yang kurang dalam diri setiap manusia.

Kita juga seharusnya sedar, bahawa tidak ada penderitaan yang kita alami dalam hidup kita, kecuali kita sendiri yang membuatnya.

Apapun kesulitan dan sebesar atau seberat apapun penderitaan yang dihadapi di dunia ini, hal tersebut pastilah berkait dengan buah fikiran kita sendiri.

Setiap persoalan hidup akan menjadi sulit jika dibuat sulit dan akan menjadi rumit jika dibuat rumit. Jadi, janganlah menyulitkan jalan fikiran kita sendiri kerana segala kehidupan yang terasa sempit menghimpit dapat dibuat menjadi lapang.

Jangan tenggelam dalam kesedihan dan kesempitan kerana Allah SWT telahpun berfirman Akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan (kesusahan) :At-Thalaq 7.

Cara mengatasi segala persoalan adalah kemampuan kita dalam mengendalikan suasana hati, iaitu berusaha untuk tetap berbaik sangka kepada orang lain. Namun yang paling penting tentunya berbaik sangka kepada Allah.

Begitu juga saya yang tidak mampu lari dari kesilapan dan kekhilafan yang mengejar 
diri ini.. Semoga kita semua dapat memperbaiki diri dan berubah lebih baik..

Apabila terdetik hati kita untuk berubah, Allah sedang pandang kita dengan pandangan kasih sayang.. Jangan sia-siakan..

Kesilapan adalah realiti kehidupan.. bukan kekesalan dan kesedihan yang berpanjangan yang patut kita tanggung.. yang penting adalah tindakbalas terhadap kesilapan itu.

InsyaAllah Allah akan permudahkan jalan, ada jalannya..cuma kita tidak tahu jalan apa yang kita bakal hadapi..tu suma perkara yang akan datang.. tiada bekal lain,melain kan kekuatan diri yang kita sendiri kena bekalkan..

Jika kita terus menyalahkan keadaan sekeliling,kita seolah-olah menghukum diri kita sendiri dengan cara yg salah..Kesilapan bukan bermakna kita tidak mencapai apa-apa.tetapi kita telah mempelajari sesuatu..

Dan bukan semua kesilapan itu kehancuran.. kesilapan pun mungkin boleh menjadi sesuatu perkara penting bagi menjamin kebahagiaan yang bernilai suatu hari nanti..

Belajar balik dari kesilapan..tiada apa yg lebih penting melainkan
redha Allah..cari jalan mcm mana nak cari redha Allah..


masjidil nabawi

Wallahu alam..

-tambahan- Dan sebelum saya terlupa, saya nak ucapkan terima kasih pada BCRian sebab buat gath haritu.. sedikit sebanyak tersuntik juga semangat untuk update entry.. Thanks semua.. korang terbaik.. Yang tak dapat datang haritu nanti kita buat majlis berbuka sekali ye :)

7 Julai 2012



Saturday, February 11, 2012

Apa beza aku dan mereka? aku susah, mereka senang, aku selalu berdoa, mereka selalu berfoya, tetapi kenapa aku susah dan kenapa mereka senang?

"Mereka tu tak ingat Allah kenapa hidupnya senang? aku tak pernah lupa Allah, perintahnya aku turut dan larangannya aku tinggal, tapi kenapa aku susah?" 


Sewaktu saya pulang ke Taiping tempoh hari, saya ada terjumpa dengan seorang abang kepada kawan saya. Dan dia ajak saya berborak, dari topik ke topik. Sehingga dia meluahkan satu masalahnya kepada saya. Dan saya ingin berkongsi didalam entry ini atas tujuan berkongsi cerita.


Ceritanya bermula apabila dia mengutarakan soalan begini..


Syafiq, kenapa aku hidup susah? aku dah tak sanggup hidup susah, nak kata aku tak ikhtiar? berdoa? atau nak kata aku tak berusaha.. ikhtiar dah ikhtiar dah, berdoa pun siang malam.. berusaha pun aku dah berusaha bersungguh-sungguh dah, tapi hidup aku tetap macam ni, hutang pun tak terbayar, tetapi aku pelik, kenapa ada golongan yang hidup senang.. walaupun golongan itu tak pernah berdoa, tak berusaha seteruk aku, tapi hidup dia masih boleh hidup mewah, doa aku ni tak makbul ke?


Sebenarnya doa kita itu tak pernah sekalipun Allah tidak dengar.. hatta kita berdoa dalam hati sekalipun Allah tetap mendengarnya, tetapi mungkin Allah belum menjawabnya.. Kerana ada hikmah tersembunyi yang masih belum kita nampak.. Apa yang penting sebenarnya.. Bersangka baiklah dengan Allah walau apa bentuk situasi pun yang kita sedang hadapi sekarang ini.. 


Sebenarnya orang yang senang atau mewah hidupnya tapi tidak pernah berdoa, atau tidak pernah beriman dengan Allah mereka sedang mengalami suatu peristiwa.. Tau peristiwa apa? peristiwa istidraj..(saya tidak tahu nak gambarkan ayat apa yang sesuai untuk istidraj ni.. Mungkin juga istidraj ini ujian ataupun suasana ujian)


istidraj


Tahukah kita apa itu istidraj? Istidraj ini adalah salah satu ujian iman yang kita tidak terlihat tetapi dirasa.. Boleh diberi nama ujian mahupun nikmat, iaitu "nikmat tipu sementara". Selalunya orang menganggap istidraj itu adalah nikmat. Kerana ia lebih kepada kenikmatan atau kesenangan yang dirasai hanya seketika waktu.


Mesti kita selalu tertanya-tanyakan kenapa kita hidup susah?? sedangkan kita beriman dengan Allah, pemilik tunggal semesta alam, yang mencipta seluruh seisi alam. Walhal orang yang tidak beriman dengan-Nya memiliki segala jenis bentuk kesenangan, wang ringgit dan segalanya. Dengan kesenangan mereka juga maka terjadi sesuatu suasana yang digelar "double standard" yang mana ada golongan atasan seperti orang yang ada kenamaan, orang kaya, sederhana dan daif. Tidak dinafikan, saya juga sering tertanya soalan yang sama..


Tidak perlu ambil contoh yang jauh, saya juga pernah tertanya, adakah kesaktian dari kebanyakan bomoh-bomoh sesat, pengamal-pengamal ilmu hitam memiliki kekuatan atau kesaktian di luar kenormalan manusia? Mana datangnya kelebihan sihir itu? Semua kelebihan itu datangnya tidak lain tidak bukan adalah dengan izin Allah. 


Kerana apa Allah izinkan perkara sihir itu berlaku? Itu adalah kerana "ujian iman" bagi orang yang menuntutnya. Allah bagi segala-galanya untuk melihat hambanya sampai bila hambanya yang sesat itu menyalah gunakan hayat hidupnya dengan mengamalkan amalan syirik itu. Alangkah sadisnya kerana ketika itu mata hatinya sudah kabur dengan urusan kepentingan diri di keduniaan hingga melupakan akhirat. 


Itulah "istidraj" iaitu nikmat tipu sementara. Dan mereka itu tertipu dan mata hati mereka sudah kabur atau buta dengan "nikmat sementara" itu.


Biarlah sesusah mana pun kita, semewah mana pun kita. Jangan sesekali kita membelakangi syukur kita kepada Allah. Kerana Allah Taala tau iman kita, susah ke senang ke.. Hatta orang kaya selagi dia beriman, dia lebih mulia dari orang susah yang tidak beriman..


Bagaimana dengan bomoh-bomoh dan pengamal sihir itu? Andai kata datang hidayah kepadanya, dia berubah dan bertaubat sesungguhnya kepada Allah, dan kemudiannya dia beriman kepada Allah, maka dia lebih mulia daripada orang yang tak pernah jadi bomoh tapi sekalipun tidak pernah beriman dengan Allah.


Jangan sesekali kita biarkan iman kita terhakis daripada terus beriman dengan Allah. Bukan kemewahan yang patut kita tekejar-kejar, tetapi redha Allah Taala lah yang sepatut-patutnya kita cari. Dan jangan berputus asa dari terus berusaha. Biar tidak mewah tidak mengapa, tetapi kita masih mampu hidup dan bernafas dalam redhaNYA.
Susah mahupun mewah, sekembalinya kita nanti tetap kembali kepada "tempat" yang sama..
sekian..

Friday, February 10, 2012

Apa sebenarnya sedih itu..?

Masalah tidak dapat diselesaikan dengan bersedih. Jadi kesedihan akan menambah masalahan baru. Sebenarnya orang yang ditimpa masalah sepatutnya tidak melihat masalah yang menimpanya sebagai alasan untuk bersedih tetapi dilihatnya sebagai kesempatan untuk bangkit dan menghadapi masaalah itu.


Apa sebenarnya sedih itu? Pertanyaan senang yang cukup sukar untuk menjawabnya. Kesedihan memang tidak dapat didefinisikan. Kesedihan hanya dapat dilihat dari tanda-tandanya, seperti sorot mata sayu yang sering diiringi dengan linangan airmata, kepala sentiasa menunduk, otot-otot lemah, dada menjadi sesak dan muka selalu kelihatan muram. 


Walaupun semua tanda-tanda ini tidak bersifat mutlak, namun hampir semua perasaan manusia dapat dilihat dari matanya. Itulah sebabnya ada ungkapan "Pancaran sinar matamu adalah cermin jiwamu." Kesedihan dan kegembiraan seseorang dapat kita lihat dari sinar matanya atau air mukanya secara keseluruhan.


Secara sederhana, kesedihan dapat digambarkan sebagai rasa jiwa yang timbul sebagai kejadian yang tidak menyenangkan. Padahal seharusnya tidak ada hal yang tidak menyenangkan bagi kaum muslim. 


Firman Allah:
"Janganlah kalian bersikap lemah dan jangan juga kalian bersedih hati, padahal kalianlah orang-orang yang paling tinggi(mulia), jika kalian orang-orang yang beriman."
(Ali Imran:139)


Kesedihan yang berlebihan tidak selayaknya menghinggapi seorang mukmin. Mengapa begitu?


Padahal manusia dan kesedihan adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan. Memang benar.. Tetapi bila kita menyelami hadis Nabi ini, maka kita akan dapat alasan yang kuat mengapa kesedihan sebenarnya tidak layak menghampiri kaum muslimin.


"Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Semua urusannya mengandungi kebaikan baginya dan hal ini tidak berlaku bagi seorang pun kecuali orang mukmin. Jika mendapat kegembiraan dia bersyukur, maka ini baik baginya, dan jika ditimpa musibah, ia bersabar, maka ini pun baik baginya."


Saya tidak bermaksud mengatakan bahawa kita tidak boleh bersedih, kerana saya juga tidak mampu lari dari itu, tetapi kesedihan memang harus dibatasi. Sabda Rasulullah "Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul serta menarik-narik pakaiannya (ketika ditimpa musibah) serta berseru dengan seruan jahiliyah a.k.a mencarut-carut (Bukhari Muslim). Dan lebih buruk lagi kalau kesedihan itu membuatkan kita mempertikai keadilan Yang Maha Kuasa atas takdir yang menimpa kita.


Kesedihan harus dikawal. Jangan sampai kita yang dikendalikan oleh kesedihan yang hanya akan menghantar kita kepada penyesalan tidak berpenghujung. Segeralah bangkit dan terus melangkah dan mohon pertolongan Allah agar Dia menghapus kesedihan dan mengganti dengan kebahagiaan.


Pernah saya terbaca kisah tentang Management Stress, Stephen Covey mengangkat segelas air dan bertanya kepada pelajarnya "Menurut anda berapa berat segelas air ini?" Pelajar-pelajarnya memberi pelbagai jawapan antara dua ratus sehingga lima ratus gram.


"Ini bukanlah masaalah berat airnya, tapi bergantung kepada berapa lama anda memegangnya." Kata Covey.


"Jika saya memegangnya selama satu minit, tidak ada masaalah. Jika saya memegangnya selama satu jam, lengan saya akan terasa lenguh. Dan jika saya memegangnya selama sehari, Mungkin anda harus memanggil ambulans untuk saya. Sebenarnya beratnya sama, tapi semakin lama saya memegangnya, maka bebannya akan terasa semakin berat."


"Jika kita membawa beban kita terus menerus, lambat laun kita tidak akan mampu menanggungnya lagi kerana beban itu akan meningkat beratnya." Sambung Covey lagi, "Apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan gelas tersebut dan berehat seketika sebelum mengangkatnya lagi."


sekian..


Tambahan: Kesedihan adalah realiti kehidupan, bukan kekesalan yang berpanjangan yang patut kita tanggung. Yang penting adalah tindakbalas terhadap kesedihan itu. InsyaAllah jika kita kuatkan iman kepada Allah, maka Dia akan permudahkan jalan, dan ada jalannya. Tiada bekal lain, melainkan kekuatan diri yang kita sendiri kena bekalkan. 


Jika kita terus menyalahkan keadaan sekeliling, kita seolah-olah menghukum diri kita sendiri dengan cara yang salah. Kesedihan bukan bermakna kita tidak mencapai apa-apa yang kita harapkan atau kehilangan sesuatu yang bermakna. Tetapi kita telah mempelajari sesuatu yang lebih bermakna dari itu..


la tahzan wa la takhof innallah ha ma'ana..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...